Khamis, 15 Mac 2012

Jangan salahkan ibu Dirang


Sumber: Sinar Harian
NORSHIKIN MOHD SALLEH & AZIZAN INCHE HARUN
16 Mac 2012
Anisah Kalam

PASIR GUDANG – Mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, tidak pernah bersendirian ke kedai runcit atau ke taman permainan di Flat Seri Delima Bandar Seri Alam, di sini, kecuali pada hari kejadian itu.

Peniaga, Anisah Kalam, 35, berkata, dalam sehari mesti dua atau tiga kali mangsa, yang lebih mesra dipanggil Dirang, pergi ke kedai runcitnya, tetapi bersama abang atau ibu saudaranya.

Anisah yang sudah berniaga di flat itu enam tahun berkata, Dirang juga tidak keseorangan ketika bermain di taman permainan berhampiran rumahnya.

“Saya minta tolong janganlah salahkan ibunya (Roselyn Alan) kerana sepanjang berniaga di sini Dirang tidak pernah (dibiarkan) bersendirian membeli gula-gula atau barang pesanan ibunya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Anisah berkata, Walaupun Dirang baru berumur lima tahun, kanak-kanak itu petah bercakap dan mesra dengan semua orang sehingga keletahnya diingati penduduk flat itu.

Menurutnya, Dirang tidak pergi ke kedainya tiga hari sebelum itu.

“Pada hari itu saya pelik lihat Dirang sendirian ke kedai, malah baki wang 20 sen selepas membeli dua bungkus mi segera dan lima biji telur tidak dibelanjakan untuk membeli gula-gula seperti biasa.

“Keletahnya seperti biasa yang gemar memberi salam sebelum masuk ke kedai. Saya juga suka mengusik dia kerana petah bercakap walaupun baru berusia lima tahun,”

Jumaat, 17 Februari 2012

Bogel depan penguat kuasa

Sumber Sinar Harian
KAMARUL HALIM M KAMAL
18 Februari 2012
Bogel depan penguat kuasa

BATU PAHAT – Tergamam! Demikian reaksi sekumpulan pegawai penguat kuasa agama selepas tubuh yang membuka pintu sebuah bilik di hotel bajet di sini, tidak dibaluti waima dengan seurat benang sekalipun.

Lagak selamba si gadis yang terus menayangkan tubuhnya itu, diburukkan lagi selepas dengan tidak semena-mena gadis itu meracau kepada pegawai penguat kuasa agama yang ketika itu sedang menjalankan operasi banteras maksiat.

Timbalan Penguatkuasa Jabatan Agama Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, pegawai bertugas berulang kali mengarahkan gadis itu supaya mengenakan pakaian, namun tidak diendahkan dan berterusan membiarkan tubuhnya diperhatikan tanpa sedikit pun rasa malu.

Katanya, ketika serbuan dalam operasi banteras maksiat kira-kira jam dua pagi kelmarin, gadis berusia 26 tahun itu dipercayai berdua-duaan bersama pasangannya di dalam bilik hotel bajet berkenaan sebelum diserbu.

“Melihat keadaan gadis terbabit tanpa pakaian, kami mengarahkannya mengenakan pakaian lengkap, namun dia berlagak selamba dan tidak mengendahkan arahan itu.

"Anggota wanita yang bertugas kemudiannya memberikan tuala sebelum gadis itu mengenakan pakaian lengkap sebelum berulang kali mengatakan dirinya hanya berseorangan di bilik hotel itu," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, turut ditemui sekeping nota penuh contengan bersamanya dan berdasarkan nota itu, gadis berkenaan dipercayai mengalami masalah kemurungan.

“Antara isi kandungan kertas itu termasuk, 'aku tertekan kejar akhirat’, serta beberapa contengan lain yang agak sukar difahami malah tulisannya seperti individu yang berada di bawah pengaruh dadah yang kebiasaannya sering berimaginasi.

“Turut ditemui bersama gadis terbabit satu kotak berisi kondom dipercayai digunakan bagi tujuan hubungan seksual," katanya.

Bagaimanapun katanya, pasangan gadis itu dipercayai mengetahui kehadiran unit penguat kuasa lebih awal, sebelum meloloskan diri menerusi tingkap tingkat dua hotel terbabit.

"Hasil siasatan mendapati gadis terbabit merupakan warga tempatan, malah turut mendakwa dirinya anak yatim piatu.

"Malah, dia mula menangis serta meracau sejurus diperiksa anggota bertugas sebelum diberikan kaunseling,” katanya.

Sabtu, 15 Oktober 2011

London Bagaimana?

Sakan inisiatif, sakan pandangan
oleh NURUL IZZAH
10/16/2011 9:46:19 AM

Nurul Izzah, Yingluck Shinawatra Malaysia? Tidak mustahil dalam politik Sudah sebulan saya ‘berkampung’ di London. Tidak ada jerebu, tiada kekaburan fikiran!

Kedua-dua kerajaan - kita dan British – menghadapi perasaan tidak senang, kekecewaan yang meningkat dalam kalangan rakyat atau istilah politik saya ‘malaise’. Saya riang musim hawa dingin. United Kingdom (UK), Eropah, Amerika Syarikat (AS) memasuki musim sejuk (sebelum salji) secara rasmi akhir September awal Oktober. Musim autumn di Eropah atau fall (daun gugur) di AS. Kita tiada empat musim seperti UK dan AS: spring (musim bunga), summer (musim panas), autumn dan musim salji atau winter. Kita hanya mempunyai dua tempoh: panas dan hujan. Mutakhir kita ada tiga musim – panas, hujan dan jerebu! Jepun ada tsunami, gempa bumi, typhoon; India, Bangladesh, Pakistan bah, monsun (monsoon) yang menyebabkan banjir kilat berlaku juga musim kemarau yang berlanjutan seperti majoriti negara Afrika yang dilandai musim kontang.

Lazimnya orang British dan Eropah tidak minati musim panas. ‘How I hate August’, tulis novelis Susan Hill tahun lepas waktu summer hampir tamat. Kemuncak musim panas di Eropah dan England ialah bulan Ogos sebab itu mereka tidak suka bulan itu. Sebabnya banyak. Antaranya saya perturunkan dalam bahasa asal Hill: ‘it’s the month (yakni Ogos) when everything goes on hold and nobody answers the phone because they are not there (musim panas ramai tuang kerja!) and Americans looking for Buckingham Palace in the wrong place (yakni pelancong AS mencari-cari Istana Buckingham di tempat salah)...the garden is full of wilting flowers. Airports are crammed with people sleeping on their luggage. Holidays abroad in August, bah!’ Touris Malaysia dan Asia gemar ke Eropah masa panas. Buat apa ke sana waktu hawa lebih kurang seperti musim panas kita? Satu sebab sahaja saya nampak bagus ke UK dan AS masa summer: membeli belah terutama pakaian musim panas yang amat sesuai dipakai di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan negara ASEAN lain. Sekarang saya gesa orang Malaysia mengunjungi UK dan AS kerana wang tukaran atau foreigh exchange antara Sterling Pound dan AS Dollar dengan Ringgit Malaysia agak murah. Sebulan dahulu RM4.88 atau kurang lebih begitulah untuk 1 Sterling Pound. Semasa kali pertama saya di UK (1962), tukarannya antara $8 – $8.50 Straits Dollars untuk 1 Sterling Pound, Straits Dollars mata wang yang diguna oleh Malaya waktu itu. Apa pun seorang itu akan menjadi produk, asuhan, acuan pendidikannya. Yang berpendidikan di Barat lazimnya mirip kebaratan dan yang belajar di Timur Tengah ke‘arab’an.

Ramai manusia British gembira apabila musim panas beredar akhir Ogos – awal Oktober. Dalam musim summer orang British yang berada lazimnya, ‘flee to the Highlands of Scotland, which is what I usually do. So long, that is, as you don’t expect the sun to shine and are prepared to endure the midges’, tegas Hill. Elit Malaysia seperti penjajah British terdahulu, kalau sakan panas pergi ‘makan angin’ atau bercuti ke Bukit Cameron, Bukit Frasers, Bukit Maxwell (Bukit Larut dan Matang di Taiping), Bukit Bendera di Tanjung. Kami pelajar MCKK sebelum merdeka dibawa dan digalakkan bercuti di tempat-tempat peranginan ini seolah-olah sebahagian latihan awal menyesuaikan diri dengan musim sejuk apabila belajar di UK kelak. Apabila pulang senanglah memasuki iklim, dunia sosial kolonial selepas itu dunia sosial post merdeka dan sekarang globalisasi. Dunia sosial, politik dan ekonomi yang dinikmati majoriti elit Malaysia. Mereka seangkatan dengan saya menikmati peluang ini.

Kawan-kawan di UK – kulit putih juga pegawai kita yang bekerja di UK dan Malaysians diaspora berpendapat perdana menteri Najib Tun Razak harus mengadakan PRU-13 secepat mungkin: sebab dia agak popular sekarang. Kononnya 59 peratus pengundi sayanginya walaupun peratus itu sudah jatuh jauh dari mula-mula dia mengambil alih dari Badawi. Kedua taufan ekonomi mungkin berlaku di Amerika dan Eropah. Kalau ribut ekonomi berlangsung (ramai menjangka begitulah) ekonomi kita yang kini berkembang pada kadar 4 – 5 peratus terancam, akan mudah diperlemahkan lagi. Our economy becomes vulnerable’ terang Speaking. Ketiga parti pembangkang dilihat berada dalam keadaan yang kucar-kacir (disarray) terutama PKR. DAP kukuh, PAS stabil. Saya tidak setuju. Kalaulah saya penasihat politik Umno-BN janganlah adakan PRU tahun ini hatta ‘musim bunga antara Mac – Jun 2012’ pun. Sungguhpun perdana menteri Najib telah mengumumkan berbagai-bagai inisiatif – ISA dimansuhkan dan sakan lagi.

Juga sakan pandangan yang berbeza. Saya rasa dan berharap mereka terus berkhidmat sehingga slogan yang dilaung-laungkan kini ‘utamakan pencapaian, rakyat didahulukan’ menjadi kenyataan dan tempoh pilihan raya tamat April 2013! Sebelum ke England sebulan dahulu nak jumpa pemimpin Umno pun susah. Di Kelantan tengah sibuk membuat persediaan PRU-13 olok-olok. Speaking berkata, ‘good luck to them’. Ingat, inisiatif Najib ini telah pun di ‘discounted’kan oleh pengundi yang berfikir dan muda-mudi kerana mereka telah menjangkakan ini semua.

Kononnya Pakatan Rakyat sedang menghadapi jalan buntu. Siapa PM kalau PR menang.

Menanglah dahulu! Anwar Ibrahim akan didapati bersalah dan dipenjarakan teka ramai di dalam dan di luar negara. Saya tidak nampak kenapa Nurul Izzah tidak boleh jadi ‘Yingluck Shinawatra’ Malaysia? Lebih muda, lebih berpendidikan, lebih rupawan, walaupun mungkin tidak banyak wang seperti Yingluck; apa pula salah dengan Tok Guru Haji Hadi, Lim Kit Siang? Dalam perlembagaan tidak disebut PM mesti Melayu/Islam. Ku Li masih nak sangat jadi PM. Ku Li bisa dilantik kalau Nurul Izzah, Haji Hadi, Lim Kit Siang agak sukar mendapat sokongan sebulat suara. Ku Li mengikut sok sek sok sek boleh jadi calon yang boleh diterima oleh semua. Apa lagi kalau dia dapat membawa bersamanya ramai MP Umno-BN. Saya tidak nampak langsung pilihan PM isu besar. Gampang. Kata orang seberang. Bisa diatur.

Memenangi pilihan raya sukar diatur tetapi tidak mustahil.

Baik Melayu, Cina, India dan Pribumi di Sarawak dan Sabah sakan menikmati anugerah Allah SWT di bumi Malaysia yang subur dan makmur ini. Pada keseluruhannya kita makmur (relatively speaking that is), aman damai (relatively speaking) dan pentadbiran boleh dikira cekap juga; korupsi (masih boleh ditelan walaupun toleransi rakyat tidak boleh lagi taken for granted). Ramai masih tidak senang dan tenteram kerana mereka tidak mensyukuri apa yang dinikmati dan dikurniakan. Mereka yang tidak puas hati, tidak berterima kasih berhijrah. Penduduk kita kini 28 – 29 juta, 30 – 35 peratus bukan Peribumi tetapi mendahului Peribumi yang berjumlah antara 65 – 70 peratus dalam ekonomi, pendidikan, profesion, separa profesional dan dalam semua bidang industri canggih, kewangan, insurans dan reinsurans.

Kalau yang tidak senang serta mendapati Malaysia mengamalkan quasi-demokrasi yakni separuh demokrasi, demerit bukan meritokrasi kita tidak boleh menahan mereka membuat pilihan suka hati mereka. Semoga mereka ini akan mendapat apa yang mereka kejar di destinasi yang ditujukan. Siapa kata tiada ‘ethnic divide’ di UK, AS? Sama ada mereka ini buta atau sengaja tidak mahu menerima hakikat hidup.

Saya ingin membaca satu hari sejarah negara kita yang sahih yakni sejarah kemerdekaan yang dianggap lengkap, definitif dan muktamad. Apa pun pelajarilah dari penjajah British dengan menjadikan history satu subjek penting dalam silibus pendidikan kita.

Rabu, 21 September 2011

Lelaki lumpuh menang kes saman polis, dapat ganti rugi RM900,000

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang lumpuh akibat ditembak polis hari ini berjaya dalam tuntutan samannya apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan pihak polis membayar ganti rugi berjumlah RM900,000.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Siti Khadijah S Hassan Badjenid memerintahkan Lans Kopral Nadzri Ahmad dan Ketua Polis Negara membayar jumlah itu meliputi kos tambang ke hospital, kos ulang alik sebagai pesakit luar, kos beg kencing, kehilangan pendapatan dan lain-lain.

Dalam penghakimannya, Siti Khadijah berkata, perbuatan Nadzri yang melepaskan tembakan terhadap Johari Kasman, 28 jelas menunjukkan salah guna kuasa dan terdapat percanggahan antara keterangan pakar dan afidavit pembelaan berhubung jarak tembakan dilepaskan.

Katanya, semasa kejadian Nadzri bertugas dengan memakai pakaian preman dan menahan plaintif kerana berkelakuan mencurigakan tetapi plaintif enggan berhenti hingga timbul pergelutan.

Siti Khadijah berkata, walaupun kejadian tembakan itu berlaku, Nadzri tidak melepaskan tanggung jawabnya begitu saja malah bertindak membawa plaintif ke hospital.

"Defendan pertama menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Berat mata memandang, berat lagi memikul tanggungjawab. Plaintif mempunyai empat rekod jenayah lampau yang kesemuanya kesalahan mencuri kenderaan," katanya.

Bagaimanapun, ketika kejadian pada 23 Oktober 2004, defendan berkata, plaintif memandu menggunakan motosikal curi dengan nombor pendaftaran palsu, tetapi defendan tidak mempunyai bukti bahawa plaintif terbabit pada hari itu", katanya.

Pada 18 Oktober 2007, Johari mengemukakan saman terhadap Nadzri dan Ketua Polis Negara kerana cuai hingga menyebabkannya lumpuh selepas ditembak di belakang dan mendakwa Nadzri tidak memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan gagal memberi amaran sebelum menembaknya.

Menerusi pembelaan, kedua-dua defendan berkata, tindakan menembak itu bertujuan mempertahankan diri dan sebelum pergelutan berlaku plaintif bertindak menghayun topi keledar beberapa kali hingga terkena kepala Nadzri, selain cuba merampas pistol defendan.

Sepanjang prosiding Johari memanggil empat orang saksi manakala defendan seramai enam orang.

Peguam V Rajadevan mewakili Johari dan Peguam Kanan Persekutuan, Mariam Hasanah Othman mewakli defendan. - Bernama

Sumber: Sinar Harian

Ahad, 18 September 2011

Lelaki bertelanjang ditangkap


Oleh Atikah Dali
atikah.mohddali@kosmo.com.my

Penduduk mengawasi lelaki disyaki pengamal ilmu hitam yang ditahan di flat Pinggiran Batu Caves, Selayang, Selangor semalam.

KUALA LUMPUR - Seorang pemuda disyaki warga Indonesia diberkas penduduk selepas berkeliaran dalam keadaan berbogel di Flat Pinggiran Batu Caves, Selayang di sini awal pagi semalam.

Sebelum diberkas pada pukul 2.30 pagi, lelaki berumur lingkungan 20-an itu dikatakan berjalan-jalan di aras bawah sebuah bangunan flat lima tingkat di kawasan berkenaan.

Seorang suri rumah, Norlida Hassan, 42, yang tinggal di aras tersebut dikatakan terkejut sebaik sahaja melihat suspek dalam keadaan berbogel ala Orang Minyak itu tiba-tiba bersilat di hadapan rumahnya.

Wanita itu kemudian menjerit meminta tolong malangnya suspek tidak berganjak dari muka pintu.

"Saya sudah tidur tetapi tersedar selepas terdengar bunyi nafas orang yang kuat di luar bilik.

"Apabila saya intai menerusi tingkap, saya terkejut melihat lelaki itu sedang melakukan aksi pelik. Saya menyergahnya tetapi dia tak berganjak.

"Saya buka pintu rumah untuk menghalaunya tetapi dia buka jurus pencak silat menyebabkan saya naik takut," ceritanya.

Oleh kerana takut, dia kemudian mengejutkan suaminya Ahmad Hashim, 42, untuk menghalau lelaki itu.

Difahamkan, suspek bukan merupakan penduduk kawasan berkenaan.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Zakaria, 46, pula berkata, suspek yang panik itu bertindak melarikan diri.

"Dua penduduk termasuk jiran mangsa bertindak mengejar lelaki itu dan dia dapat diberkas kira-kira 20 minit kemudian.

Empat rakyat Malaysia maut di selatan Thailand


SUNGAI GOLOK (Selatan Thai) – Empat rakyat Malaysia, termasuk seorang kanak-kanak berumur tiga tahun, maut dalam tiga kejadian letupan bom berasingan di kawasan bergolak Selatan Thailand, petang kelmarin.

Manakala seorang sukarelawan rakyat Thailand berumur 38 tahun yang cuba membantu mangsa ketika insiden turut terkorban, menjadikan jumlah korban letu-pan itu, lima orang.

Kejadian di Jalan Charoen Khet, Sungai Golok itu turut menyebabkan 19 rakyat negara ini cedera, termasuk dua daripadanya parah dan kini dirawat di Hospital Yala.

Letupan di beberapa kawasan menempatkan pusat hiburan dan hotel itu, menyebabkan kira-kira 60 orang tercedera termasuk orang awam, polis, sukarelawan dan anggota tentera.

Rakyat Malaysia terkorban, Chan Yau Win, 38; Wong Hong Yep, 64, dan cucunya, Wong Kai Sean, 3; dari Kota Bharu, Kelantan serta Foong Foo Keah, 45, dari Kuantan, Pahang.

Hong Yep dan Kai Sien berada di Sungai Golok bersama tiga ahli keluarga, manakala Foong pula bersama tiga rakan termasuk abangnya, Foong Too Chuan, 53, ketika letupan berlaku.

Seorang rakyat Malaysia yang cedera parah, Heng Chin Gou termasuk Komander Pasukan Khas 1922, sebuah pasukan khas bertanggungjawab menjaga keselamatan di Sungai Golok, Kapten Theerapong Suwannawetch.

Timbalan Datuk Bandar Sungai Golok, Rosdi Che Omar berkata, letupan pertama berlaku kira-kira jam 7.30 petang waktu Malaysia apabila, sebuah motosikal diletakkan di hadapan Pusat Kebudayaan Persatuan Teochew di jalan berkenaan meletup.

“Kira-kira lima minit kemudian, sebutir lagi bom dipasang pada motosikal berhampiran Hotel Marina, meletup menyebabkan Foo Keah dan sukarelawan rakyat Thailand cedera parah sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.

“Ketika keadaan kelam-kabut di jalan sepanjang 500 meter itu, satu lagi letupan lebih besar, dipercayai daripada bom dipasang pada kereta yang diletakkan berhampiran lampu isyarat dekat Hotel Merlin meletup,” katanya.

Rosdi berkata, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan kejadian dilakukan kumpulan sindiket dadah, selain dikaitkan dengan ahli kumpulan pemisah.

Sumber : Sinar Harian

Isnin, 5 September 2011

Noramfaizul Mohd Nor



Komen Penulis Blog:
Mati boleh berlaku di mana-mana. Perkara yang menjadi sebab kematian itu yang menjadi isu kepada segala kejadian yang berlaku. Sesuatu isu itu akan menarik jika beritanya pertama kali berlaku kepada warga Malaysia. Isu seperti ini juga sudah menjadi kebiasaan di negara-negara yang setiap hari berdepan dengan kematian seperti ini. Oleh itu, aktiviti yang dilalui oleh seseorang itu mesti lengkap dengan peraturan dan prosedur yang betul untuk mengurangkan apa jua risiko yang bakal dihadapi. Selayaknya usaha murni seharusnya dihargai dan bukan sekadar penghias atau agenda di sebalik tabir.


Memo Editor
Beri pampasan RM200,000

KUALA LUMPUR - Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihak insurans bersetuju memproses tuntutan berjumlah RM200,000 dalam masa terdekat untuk keluarga jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, yang terbunuh di Somalia pada Jumaat lepas.

Beliau berkata, tuntutan itu adalah daripada insurans berkelompok yang diambil oleh kelab itu bagi melindungi kesemua anggota misi itu termasuk Noramfaizul sebelum mereka berlepas bulan lepas mengikuti misi kemanusiaan ke Somalia.

“Bagi setiap kali misi, kita akan membelikan insurans, bukan setakat kepada sukarelawan ahli Kelab tetapi untuk semua doktor dan wartawan yang mengikuti misi,” katanya ketika ditemubual oleh hos rancangan ’Kopi O Panas’, Zulkifli Bujang, yang disiarkan TV1, pagi semalam.

Abdul Azeez berkata, walaupun kesemua anggota kumpulan misi telah diminta menandatangani surat persetujuan pelepasan (Letter Of Indemnity), tetapi Kelab Putera 1Malaysia tetap mengambil perlindungan insurans.

“Dalam kes Somalia, insurans yang dibeli adalah bagi tempoh setahun, iaitu bermula daripada 25 Ogos 2011 hingga 24 September 2012,” katanya.

Abdul Azeez berkata, perkara itu telah pun dimaklumkan kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul kelmarin.

Beliau juga menegaskan bahawa misi ke Somalia itu adalah mengikut prosedur termasuk mengkaji status kawasan, membuat tinjauan ke lokasi dan memastikan kesemua anggota misi dilindungi insurans khusus sebelum misi dilaksanakan.

Malah katanya, sebagai persediaan awal, Kelab Putera 1Malaysia telah menghantar pasukan peninjau terdiri daripada bekas duta dan seorang bekas Kolonel Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Somalia.

“Ketika kumpulan misi sampai ke sana pada 28 September, kita disambut Timbalan Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Perikanan serta Ketua Polis (Somalia) dan tentera yang memberi taklimat dan jaminan keselamatan kepada kita,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 60 anggota keselamatan tempatan ditugaskan untuk melindungi 55 anggota misi berkenaan, dan atas faktor itu, tiada pasukan keselamatan dari Malaysia diminta untuk mengiringi misi berkenaan.

“Lagipun kita merupakan NGO dan pergi secara sukarela, cuma kita minta bantuan pesawat C-130 TUDM untuk menghantar bantuan dan anggota misi sahaja,” katanya.

Abdul Azeez berkata, Kelab Putera 1Malaysia akur mengenai langkah-langkah yang harus diperbaiki demi mengukuhkan lagi misi-misinya pada masa depan.

Kepada soalan mengapa misi kemanusiaan anjuran kelab itu sering membawa kumpulan sukarelawan, termasuk media yang besar, Abdul Azeez berkata, sambutan itu mungkin didorong oleh misi yang mahu dilaksanakan.

Beliau menjelaskan pada peringkat awal, seramai 173 sukarelawan termasuk 80 Cina, 47 India dan 46 Melayu memohon untuk menyertai misi itu.

Bagaimanapun, katanya, hanya 55 sukarelawan termasuk 15 orang daripada media massa dipilih mengikuti misi.

“Saya sendiri tidak tahu kenapa ramai yang menawarkan diri. Sedangkan saya sudah berulang kali menyatakan bahawa misi ini amat bahaya, malah dalam taklimat terakhir pada 27 September lepas pada 9 malam, saya sekali lagi menyatakan bahawa mereka boleh menarik diri.

“Mungkin semangat untuk memberi bantuan bila melihat keadaan sebenar di Somalia di mana setiap enam minit seorang kanak-kanak terkorban kerana kebuluran,” katanya. - Bernama