Rabu, 23 Mac 2011

Datuk T gabungan tiga sahabat

KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai identiti sebenar ’Datuk T’ yang menayangkan rakaman video aksi seks didakwa melibatkan pemimpin kanan pembangkang kepada media Isnin lalu terjawab apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik semalam tampil untuk mendedah­kan siapakah lelaki misteri tersebut.

Abdul Rahim berkata, Datuk T bukanlah seorang, tetapi ia melibatkan gabungan tiga orang lelaki bergelar Datuk, iaitu beliau sendiri, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim.

“Datuk T adalah gabungan daripada tiga kawan baik. Sudah lama kami berkawan,” katanya pada sidang media di Hotel Impiana, di sini semalam.

Bagaimanapun, hanya Rahim dan Shazryl yang hadir pada sidang media tersebut dan Shuib dikatakan tidak hadir kerana masalah kesihatan.

Sebelum itu, identiti mereka didedahkan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya te­ngah hari semalam.

Rahim turut mengakui beliau dan Shazryl adalah individu di belakang tayangan video aksi seks yang ditayangkan kepada beberapa wakil media di Carsosa Seri Negara Isnin lalu.

Menurutnya, pendedahan video seks tersebut kepada pihak media adalah perlu bagi mempertahankan kebenaran dan menunjukkan bahawa individu yang mahu menjadi perdana menteri itu layak atau tidak memegang jawatan itu.

“Kami tahu media akan mempertahankan kebenaran dan menolak kebatilan. Kita berani tunjuk untuk memperlihatkan kebenaran.

“Apabila kita membuat keputusan untuk bertemu media, mereka bertanya saya di mana tempat yang selamat dan saya cadangkan Carcosa Seri Negara sebab tempat itu eksklusif, selamat dari segi keselamatan. Di situlah Datuk Eskay dan Shuib tunjuk video kepada media supaya media faham perkara sebenar,” katanya.

Rahim berkata, tujuan pendedahan identiti Datuk T penting bagi membersihkan namanya, seperti tuduhan Johari bahawa beliau hendak memberi wang kepada Ahli Parlimen yang lain.

“Apabila kita tunjukkan (video seks) kepada pemimpin, ada yang buat tohmahan tertentu. Ada yang sebutkan nama saya, seolah-olah saya bayar wang. Seorang Ahli Parlimen Kedah buat tuduhan seperti ini, sedangkan beliau melihat video tersebut depan saya; saksinya Datuk (Shazryl) Eskay dan Datuk Shuib.

“YB (Yang Berhormat) ini kata, ’Hey! Ini benar... benar... Itulah si polan Itu.. Itu ketua PR’. Inilah yang diperkatakan kepada saya. Saya ada saksi yang mendengar kata-kata dia,” katanya.

sumber: Sinar Harian