Rabu, 21 September 2011

Lelaki lumpuh menang kes saman polis, dapat ganti rugi RM900,000

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang lumpuh akibat ditembak polis hari ini berjaya dalam tuntutan samannya apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan pihak polis membayar ganti rugi berjumlah RM900,000.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Siti Khadijah S Hassan Badjenid memerintahkan Lans Kopral Nadzri Ahmad dan Ketua Polis Negara membayar jumlah itu meliputi kos tambang ke hospital, kos ulang alik sebagai pesakit luar, kos beg kencing, kehilangan pendapatan dan lain-lain.

Dalam penghakimannya, Siti Khadijah berkata, perbuatan Nadzri yang melepaskan tembakan terhadap Johari Kasman, 28 jelas menunjukkan salah guna kuasa dan terdapat percanggahan antara keterangan pakar dan afidavit pembelaan berhubung jarak tembakan dilepaskan.

Katanya, semasa kejadian Nadzri bertugas dengan memakai pakaian preman dan menahan plaintif kerana berkelakuan mencurigakan tetapi plaintif enggan berhenti hingga timbul pergelutan.

Siti Khadijah berkata, walaupun kejadian tembakan itu berlaku, Nadzri tidak melepaskan tanggung jawabnya begitu saja malah bertindak membawa plaintif ke hospital.

"Defendan pertama menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Berat mata memandang, berat lagi memikul tanggungjawab. Plaintif mempunyai empat rekod jenayah lampau yang kesemuanya kesalahan mencuri kenderaan," katanya.

Bagaimanapun, ketika kejadian pada 23 Oktober 2004, defendan berkata, plaintif memandu menggunakan motosikal curi dengan nombor pendaftaran palsu, tetapi defendan tidak mempunyai bukti bahawa plaintif terbabit pada hari itu", katanya.

Pada 18 Oktober 2007, Johari mengemukakan saman terhadap Nadzri dan Ketua Polis Negara kerana cuai hingga menyebabkannya lumpuh selepas ditembak di belakang dan mendakwa Nadzri tidak memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan gagal memberi amaran sebelum menembaknya.

Menerusi pembelaan, kedua-dua defendan berkata, tindakan menembak itu bertujuan mempertahankan diri dan sebelum pergelutan berlaku plaintif bertindak menghayun topi keledar beberapa kali hingga terkena kepala Nadzri, selain cuba merampas pistol defendan.

Sepanjang prosiding Johari memanggil empat orang saksi manakala defendan seramai enam orang.

Peguam V Rajadevan mewakili Johari dan Peguam Kanan Persekutuan, Mariam Hasanah Othman mewakli defendan. - Bernama

Sumber: Sinar Harian

Ahad, 18 September 2011

Lelaki bertelanjang ditangkap


Oleh Atikah Dali
atikah.mohddali@kosmo.com.my

Penduduk mengawasi lelaki disyaki pengamal ilmu hitam yang ditahan di flat Pinggiran Batu Caves, Selayang, Selangor semalam.

KUALA LUMPUR - Seorang pemuda disyaki warga Indonesia diberkas penduduk selepas berkeliaran dalam keadaan berbogel di Flat Pinggiran Batu Caves, Selayang di sini awal pagi semalam.

Sebelum diberkas pada pukul 2.30 pagi, lelaki berumur lingkungan 20-an itu dikatakan berjalan-jalan di aras bawah sebuah bangunan flat lima tingkat di kawasan berkenaan.

Seorang suri rumah, Norlida Hassan, 42, yang tinggal di aras tersebut dikatakan terkejut sebaik sahaja melihat suspek dalam keadaan berbogel ala Orang Minyak itu tiba-tiba bersilat di hadapan rumahnya.

Wanita itu kemudian menjerit meminta tolong malangnya suspek tidak berganjak dari muka pintu.

"Saya sudah tidur tetapi tersedar selepas terdengar bunyi nafas orang yang kuat di luar bilik.

"Apabila saya intai menerusi tingkap, saya terkejut melihat lelaki itu sedang melakukan aksi pelik. Saya menyergahnya tetapi dia tak berganjak.

"Saya buka pintu rumah untuk menghalaunya tetapi dia buka jurus pencak silat menyebabkan saya naik takut," ceritanya.

Oleh kerana takut, dia kemudian mengejutkan suaminya Ahmad Hashim, 42, untuk menghalau lelaki itu.

Difahamkan, suspek bukan merupakan penduduk kawasan berkenaan.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Zakaria, 46, pula berkata, suspek yang panik itu bertindak melarikan diri.

"Dua penduduk termasuk jiran mangsa bertindak mengejar lelaki itu dan dia dapat diberkas kira-kira 20 minit kemudian.

Empat rakyat Malaysia maut di selatan Thailand


SUNGAI GOLOK (Selatan Thai) – Empat rakyat Malaysia, termasuk seorang kanak-kanak berumur tiga tahun, maut dalam tiga kejadian letupan bom berasingan di kawasan bergolak Selatan Thailand, petang kelmarin.

Manakala seorang sukarelawan rakyat Thailand berumur 38 tahun yang cuba membantu mangsa ketika insiden turut terkorban, menjadikan jumlah korban letu-pan itu, lima orang.

Kejadian di Jalan Charoen Khet, Sungai Golok itu turut menyebabkan 19 rakyat negara ini cedera, termasuk dua daripadanya parah dan kini dirawat di Hospital Yala.

Letupan di beberapa kawasan menempatkan pusat hiburan dan hotel itu, menyebabkan kira-kira 60 orang tercedera termasuk orang awam, polis, sukarelawan dan anggota tentera.

Rakyat Malaysia terkorban, Chan Yau Win, 38; Wong Hong Yep, 64, dan cucunya, Wong Kai Sean, 3; dari Kota Bharu, Kelantan serta Foong Foo Keah, 45, dari Kuantan, Pahang.

Hong Yep dan Kai Sien berada di Sungai Golok bersama tiga ahli keluarga, manakala Foong pula bersama tiga rakan termasuk abangnya, Foong Too Chuan, 53, ketika letupan berlaku.

Seorang rakyat Malaysia yang cedera parah, Heng Chin Gou termasuk Komander Pasukan Khas 1922, sebuah pasukan khas bertanggungjawab menjaga keselamatan di Sungai Golok, Kapten Theerapong Suwannawetch.

Timbalan Datuk Bandar Sungai Golok, Rosdi Che Omar berkata, letupan pertama berlaku kira-kira jam 7.30 petang waktu Malaysia apabila, sebuah motosikal diletakkan di hadapan Pusat Kebudayaan Persatuan Teochew di jalan berkenaan meletup.

“Kira-kira lima minit kemudian, sebutir lagi bom dipasang pada motosikal berhampiran Hotel Marina, meletup menyebabkan Foo Keah dan sukarelawan rakyat Thailand cedera parah sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.

“Ketika keadaan kelam-kabut di jalan sepanjang 500 meter itu, satu lagi letupan lebih besar, dipercayai daripada bom dipasang pada kereta yang diletakkan berhampiran lampu isyarat dekat Hotel Merlin meletup,” katanya.

Rosdi berkata, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan kejadian dilakukan kumpulan sindiket dadah, selain dikaitkan dengan ahli kumpulan pemisah.

Sumber : Sinar Harian

Isnin, 5 September 2011

Noramfaizul Mohd Nor



Komen Penulis Blog:
Mati boleh berlaku di mana-mana. Perkara yang menjadi sebab kematian itu yang menjadi isu kepada segala kejadian yang berlaku. Sesuatu isu itu akan menarik jika beritanya pertama kali berlaku kepada warga Malaysia. Isu seperti ini juga sudah menjadi kebiasaan di negara-negara yang setiap hari berdepan dengan kematian seperti ini. Oleh itu, aktiviti yang dilalui oleh seseorang itu mesti lengkap dengan peraturan dan prosedur yang betul untuk mengurangkan apa jua risiko yang bakal dihadapi. Selayaknya usaha murni seharusnya dihargai dan bukan sekadar penghias atau agenda di sebalik tabir.


Memo Editor
Beri pampasan RM200,000

KUALA LUMPUR - Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihak insurans bersetuju memproses tuntutan berjumlah RM200,000 dalam masa terdekat untuk keluarga jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, yang terbunuh di Somalia pada Jumaat lepas.

Beliau berkata, tuntutan itu adalah daripada insurans berkelompok yang diambil oleh kelab itu bagi melindungi kesemua anggota misi itu termasuk Noramfaizul sebelum mereka berlepas bulan lepas mengikuti misi kemanusiaan ke Somalia.

“Bagi setiap kali misi, kita akan membelikan insurans, bukan setakat kepada sukarelawan ahli Kelab tetapi untuk semua doktor dan wartawan yang mengikuti misi,” katanya ketika ditemubual oleh hos rancangan ’Kopi O Panas’, Zulkifli Bujang, yang disiarkan TV1, pagi semalam.

Abdul Azeez berkata, walaupun kesemua anggota kumpulan misi telah diminta menandatangani surat persetujuan pelepasan (Letter Of Indemnity), tetapi Kelab Putera 1Malaysia tetap mengambil perlindungan insurans.

“Dalam kes Somalia, insurans yang dibeli adalah bagi tempoh setahun, iaitu bermula daripada 25 Ogos 2011 hingga 24 September 2012,” katanya.

Abdul Azeez berkata, perkara itu telah pun dimaklumkan kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul kelmarin.

Beliau juga menegaskan bahawa misi ke Somalia itu adalah mengikut prosedur termasuk mengkaji status kawasan, membuat tinjauan ke lokasi dan memastikan kesemua anggota misi dilindungi insurans khusus sebelum misi dilaksanakan.

Malah katanya, sebagai persediaan awal, Kelab Putera 1Malaysia telah menghantar pasukan peninjau terdiri daripada bekas duta dan seorang bekas Kolonel Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Somalia.

“Ketika kumpulan misi sampai ke sana pada 28 September, kita disambut Timbalan Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Perikanan serta Ketua Polis (Somalia) dan tentera yang memberi taklimat dan jaminan keselamatan kepada kita,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 60 anggota keselamatan tempatan ditugaskan untuk melindungi 55 anggota misi berkenaan, dan atas faktor itu, tiada pasukan keselamatan dari Malaysia diminta untuk mengiringi misi berkenaan.

“Lagipun kita merupakan NGO dan pergi secara sukarela, cuma kita minta bantuan pesawat C-130 TUDM untuk menghantar bantuan dan anggota misi sahaja,” katanya.

Abdul Azeez berkata, Kelab Putera 1Malaysia akur mengenai langkah-langkah yang harus diperbaiki demi mengukuhkan lagi misi-misinya pada masa depan.

Kepada soalan mengapa misi kemanusiaan anjuran kelab itu sering membawa kumpulan sukarelawan, termasuk media yang besar, Abdul Azeez berkata, sambutan itu mungkin didorong oleh misi yang mahu dilaksanakan.

Beliau menjelaskan pada peringkat awal, seramai 173 sukarelawan termasuk 80 Cina, 47 India dan 46 Melayu memohon untuk menyertai misi itu.

Bagaimanapun, katanya, hanya 55 sukarelawan termasuk 15 orang daripada media massa dipilih mengikuti misi.

“Saya sendiri tidak tahu kenapa ramai yang menawarkan diri. Sedangkan saya sudah berulang kali menyatakan bahawa misi ini amat bahaya, malah dalam taklimat terakhir pada 27 September lepas pada 9 malam, saya sekali lagi menyatakan bahawa mereka boleh menarik diri.

“Mungkin semangat untuk memberi bantuan bila melihat keadaan sebenar di Somalia di mana setiap enam minit seorang kanak-kanak terkorban kerana kebuluran,” katanya. - Bernama