Ahad, 19 September 2010

Suspek bijak musnah bukti DNA

SHAH ALAM – Walaupun licik menghapuskan bukti asid deoksiribonukleik (DNA), suspek yang terlibat dalam pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain tetap tidak akan terlepas.

Bekas Ketua Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amidon Anan, berkata siasatan di tempat kejadian (Crime Scene Investigation) melalui kaedah sains forensik akan menjadi petunjuk kepada pakar forensik untuk mengenal pasti bahan bukti.

“Jangan ingat tiada bahan bukti biarpun mangsa dibunuh, dibakar dan abunya dibuang ke sungai, penjenayah boleh terlepas. Pasti ada bukti yang akan ditinggalkan,” katanya, semalam.

Katanya, apa jua cara penjenayah menghapuskan bukti melalui teknik tanam, bakar, diletupkan atau dibuang ke sungai, dalam tahap tertentu, bukti jenayah tersebut pasti timbul.

Menurut Amidon, setiap dua permukaan yang bertemu akan meninggalkan kesan biarpun penjenayah menggunakan sarung tangan dan alatan untuk tidak meninggalkan kesan.

“Dalam kes pembunuhan di Banting ini, suspek memang bijak dalam melupuskan bahan bukti dengan membunuh, kemudian bakar dan membuang ke sungai.

“Ini menyebabkan sampel gigi yang biasanya menjadi sumber utama DNA turut musnah. Namun begitu, pakar forensik mempunyai banyak kaedah lain untuk mencari bukti DNA ini,” katanya.

Beliau berlata, keunikan DNA yang menjadi identiti biologi setiap individu yang berbeza membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti suspek dengan mudah, sekali gus mempercepatkan penyelesaian siasatan sesuatu kes jenayah

“Ia boleh diperoleh melalui pelbagai cara antaranya cap jari, titisan peluh, air mani, rambut dan sebagainya. Penghapusan bukti secara total tidak semudah yang disangka,” katanya.

Merujuk kepada kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain, Amidon menyifatkannya sebagai jenayah terancang yang sangat kejam seperti mana kes pembunuhan penganalisis Teknologi Maklumat, Canny Ong dan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu.

Katanya, dengan melibatkan individu berprofil tinggi dan minat masyarakat untuk mengetahui perkembangan terkini berhubung penyiasatan kes tersebut, pakar forensik perlu teliti dalam mengenal pasti DNA empat mangsa.

“Pastinya sukar kerana mangsa telah dibakar dan abunya dibuang di sungai berhampiran, namun tulang-tulang mangsa boleh memberi petunjuk kepada pakar forensik mengenal pasti mangsa,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Jumaat, 17 September 2010

‘Kami ada bukti kukuh’

Sumber : am@hmetro.com.my
Kes bunuh Sosilawati:
Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim, Shanty Nur Shaffizan Shafee, Muhammad Apendy Issahak, Suraya Roslan dan Shamsul Munir Safini

2010/09/18 KUALA LUMPUR: “Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara berkemungkinan minggu depan. Polis yakin siasatan kami punya bukti kukuh,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berhubung perkembangan terkini pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, semalam.
Menurutnya, bukti kukuh itu yang dikumpul berdasarkan penemuan tulang, beberapa senjata, barangan peribadi dan pengakuan suspek diyakini mampu mengaitkan dan mengheret suspek utama dan tujuh yang lain ke mahkamah bagi didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Beliau berkata, sehingga kini polis menghentikan operasi mencari bahan bukti di Ladang Gadong dan Sungai Panchau, Banting, bermula semalam. Bagaimanapun, anggota polis masih berkawal di tempat itu dan ia masih ditutup kepada orang ramai.
“Polis percaya kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya dapat diselesaikan berdasarkan tindakan diambil dan bahan bukti yang diperoleh,” katanya.
Mohd Bakri berkata, bagi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibuat pada serpihan tulang yang dipercayai milik mangsa, keputusan mengenainya hanya akan diperoleh sekurang-kurangnya dalam empat hari lagi.
“Misi mencari bahan bukti dihentikan hari ini (semalam) dan jika selepas ini kami dapati ada keperluan atau masih ada lagi benda yang perlu dicari atau dilakukan, kami akan sambung operasi,” katanya.
Mohd Bakri berkata, dua pasukan khas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung tragedi pembunuhan keempat-empat mangsa dan kes kehilangan tiga lagi individu serta seorang wanita yang mati dibunuh sebelum ini. Beliau berkata, bagi kes Sosilawati dan tiga rakannya, pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, manakala bagi pasukan menyiasat individu hilang ia diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi, Datuk Hadi Ho Abdullah.
“Setakat ini, kami sudah kenal pasti suspek terbabit empat kes lain iaitu tiga kes individu hilang selepas mengadakan pertemuan dengan suspek utama. Kami tidak menolak kemungkinan mereka turut menjadi mangsa bunuh selain satu kes wanita mati ditikam di hadapan rumahnya tahun lalu,” katanya.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Keempat-empat mangsa disahkan dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. Kes pembunuhan itu terbongkar selepas penahanan suspek utama yang juga seorang peguam berusia 41 tahun pada 11 September lalu diikuti beberapa tangkapan membabitkan tujuh individu lain. Semua suspek dipercayai pekerja suspek utama.
Sebelum itu, polis menemui kereta mewah milik Sosilawati ditinggalkan di sebuah pangsapuri di USJ1 dan kereta peguamnya di tempat letak kereta Hotel Dorset, Subang Jaya.
Peguam terbabit orang terakhir dilihat bersama semua mangsa. Setakat ini, motif pembunuhan masih dalam siasatan.
Sejak itu, kawasan Ladang Gadong dipercayai milik suspek utama menjadi tumpuan siasatan polis selain tiga sungai utama di kawasan berkenaan iaitu Sungai Kanchung Laut, Sungai Gelanggang Buaya dan Sungai Panchau yang dipercayai menjadi lokasi pembuangan tulang mangsa, senjata pembunuhan dan barangan peribadi mangsa termasuk jam tangan serta telefon bimbit. Semua sungai berkenaan terletak antara dua hingga lima kilometer dari ladang berkenaan. Wartawan Harian Metro yang ‘berkampung’ di lokasi kejadian sejak Ahad lalu juga mendapati orang ramai terutama penduduk sekitar keluar beramai-ramai untuk melihat lokasi kejadian tanpa menghiraukan kawasan berkenaan dikawal ketat.

Dalam tinjauan semalam selepas media dibenarkan mendekati kawasan pintu masuk ladang berkenaan mendapati kawasan ladang itu dipagar dengan tembok simen setinggi kira-kira dua meter manakala pintu masuk utama dikawal menggunakan pagar kawalan automatik serta terdapat satu lagi pagar kira-kira 100 meter dari pintu utama ladang. Pintu masuk utama ladang itu turut tertera dua tanda amaran iaitu ‘Dilarang Masuk’ dan ‘Awas Anjing Ganas’. Turut kelihatan di dalam kawasan ladang berkenaan ialah beberapa bangunan menyerupai chalet, rumah pondok serta gazebo selain beberapa tapak semaian ditutupi jaring berwarna hitam dipercayai untuk tanaman sirih di sepanjang laluan pintu masuk hadapan.

Foto dan Wajah di sebalik kes Datuk Sosilawati mati dibunuh

Datuk Sosilawati


Suspek Pembunuhan


Sumber : Pahang Daily Online
Biarpun umum masih belum mengetahui siapakah sebenarnya Peguam bergelar "Datuk" yang dikatakan suspek kes bunuh Sosilawati dan tiga yang lain. Namun, di banyak laman-laman blog kini sudah dipaparkan wajah suspek berkenaan. Malah ada juga maklumat yang mengatakan suspek tersebut pernah dikenakan tindakan oleh Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam, dimanaka mereka telah digantung amalan guaman selama satu tahun mulai 9 Mac 2007 hingga 30 Mac 2008. Mereka yang terbabit ialah Peguam Datuk Pathmanabhan a/l Nalliannen, adiknya Surendren a/l Nalliannen dan proksinya En Umar Baki Bin Abdul Majid. Mereka dikenakan tindakan dalam Perkara Akta Undang-Undang Profesyen 1976. Pathmanabhan dan Surendren ketika itu menjalankan operasi mereka di Tetuan Pathma Nalli & Partners, No. 198, Jalan Sultan Abdul Samad, 42700 Banting Selangor. Sementara itu Umar Baki pula beralamat di Tetuan Umar Baki & Co., No. 3348, Tingkat 1, Jalan 18/32, Taman Sri Serdang, 43300 Seri Kembangan. Tindakan tatertib tersebut bertarikh 31 Mac 2007 dan telah ditandatangani oleh Lim Chee Wee, Setiausaha Majlis Peguam. Kesemua mereka tidak layak untuk jalankan amalan guaman dan pihak Mahkamah, ahli-ahli Majlis Peguam dan pihak awam dinasihati mengambil perhatian tentang perkara itu.

Tempat mangsa-mangsa di bakar


Kediaman Datuk Sosilawati


Pejabat Peguam


Suspek menunjukkan tempat pembuangan zink pelapik mayat yang dibakar


Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut (Tempat abu mayat dibuang)

Kes Datuk Sosilawati Tiada Unsur Perkauman

Sumber: Kosmo

Ismail (depan, dua dari kiri) bersalam dengan penduduk dan pemimpin masyarakat semasa melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di Banting semalam.

BANTING – Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang baru memegang tampuk kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam berkata, siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain dilakukan tanpa sebarang unsur perkauman.

“Kes siasatan Sosilawati adalah kes jenayah biasa kerana ada penjenayah dan ada mangsa,” kata beliau pada sesi dialog bersama pemimpin masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di sini semalam.

Lawatan Ismail ke Banting merupakan lawatan pertama beliau ke Selangor sejak beliau mengambil alih pucuk pimpinan sebagai Ketua Polis Negara pada 13 September lalu.

Menurut beliau, polis masih lagi menjalankan siasatan berhubung pembunuhan Sosilawati bersama tiga mangsa itu. Polis juga sedang menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Dalam kejadian menggemparkan itu, selain jutawan kosmetik yang dibunuh, turut menjadi mangsa kekejaman sama ialah pemandu, Kamarudin Shansudin, 44, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank, Noorhisham Mohammad, 38.

Pembunuhan kejam Sosilawati: Bertelingkah hasil jualan tanah RM29 juta

Sumber: bhnews@bharian.com.my 2010/09/17
Oleh Hardi Effendi Yaacob, Rafidah Md Ruzki, Shaarani Ismail, Wan Faizal Ismayatim, Norakmah Mat Youb, Suhana Roslan, Nor Fazlina Abdul Rahim, Sukhairi Abd Thani, Syed Azwan Syed Ali, Mohd Zaky Zainuddin, Faridzwan Abdul Ghafar, Nor Azizah Mokhtar



LOKASI kes pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat.KUALA LUMPUR: Pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya dikatakan dirancang rapi oleh suspek utama kes itu selepas timbul masalah wang hasil jualan sebidang tanah di Pulau Pinang milik mereka dan dua lagi rakan kongsi.

Tanah seluas 12 hektar bernilai RM25 juta itu dibeli secara kongsi oleh keempat-empat mereka pada 24 Mac 2008 dan dikatakan dijual kepada seorang ahli perniagaan di Selangor pada harga RM29 juta, tahun lalu. Pembelian dan penjualan tanah itu difahamkan dikendalikan sepenuhnya oleh suspek utama yang juga peguam dan bertindak sebagai broker berikutan pengalaman luasnya sebagai pengamal undang-undang, terutama dalam urusan berkaitan jual beli tanah. Seorang rakan kongsi tanah itu memberitahu Berita Harian, mereka membeli tanah tepi pantai berkenaan untuk tujuan pelaburan dengan Sosilawati menjadi pelabur terbesar.

“Atas persetujuan bersama, kami berempat termasuk suspek berkongsi membayar modal RM2.5 juta sebagai bayaran pendahuluan 10 peratus untuk membeli tanah itu.

“Apabila tanah itu dijual pada 2009 dengan harga RM29 juta, kami sepatutnya berkongsi keuntungan RM4 juta, bagaimanapun kami tidak menerima pulangan yang dijanjikan daripada peguam terbabit sehingga kini, kecuali modal,” kata ahli perniagaan bergelar Datuk itu yang tidak mahu namanya disiarkan.

“Kami pernah bertanyakan hal itu kepada suspek, namun dia memberikan alasan proses penjualan tanah belum selesai... ada kaveat ke atas tanah itu menyebabkan proses menukar nama tidak dapat dilakukan tanpa perintah mahkamah.
“Malah, suspek sentiasa menjelaskan kepada kami bertiga proses itu bukan mudah dan mengambil masa kerana membabitkan banyak prosedur mahkamah, selain meminta kami bersabar,” katanya.

Ahli perniagaan itu berkata, kali terakhir mereka berempat bertemu kira-kira dua bulan lalu bagi membincangkannya, bagaimanapun suspek memberi alasan urusan berkenaan belum selesai.

Beliau mengaku mereka berempat sebagai rakan kongsi selalu berhubungan melalui telefon.

“Saya terkejut membaca mengenai kehilangan Sosilawati, disusuli berita pembunuhannya yang dikaitkan dengan peguam kami. Lebih mengejutkan cara Sosilawati dibunuh bersama tiga yang lain,” katanya.

Sosilawati, pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages; pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dipercayai dibunuh dan dibakar di sebuah ladang di Banting sebelum abu mereka dibuang ke dalam Sungai Panchau, pada 30 Ogos lalu.

Sementara itu, seorang lagi ahli perniagaan bergelar Datuk berasal dari Selangor mengesahkan beliau yang membeli tanah berkenaan pada harga RM29 juta daripada mereka berempat, tahun lalu.

Beliau yang meminta identitinya dirahsiakan, bagaimanapun menjelaskan bayaran tanah itu masih belum selesai sepenuhnya berikutan prosedur mahkamah.

“Setakat ini, saya sudah membayar wang pendahuluan 10 peratus (RM2.9 juta) dan hanya menunggu proses kelulusan untuk bayaran penuh,” katanya mengesahkan sudah menerima beberapa dokumen daripada suspek berhubung pembelian tanah itu dan percaya semua proses mengikut saluran undang-undang.

Luahan Rakan Kongsi Datuk Sosilawati

Sumber :myMetro
Jumaat, 17 September 2010
Kes bunuh Sosilawati: Nyaris jadi mangsa kelima

2010/09/17 KUALA LUMPUR: “Jika tidak kerana saya sudah berada di kampung kerana mahu menyambut Aidilfitri, mungkin saya juga senasib dengan Datuk Sosilawati dan tiga lagi rakan,” kata seorang rakan kongsi jutawan kosmetik itu dalam pembelian sebidang tanah seluas 30 ekar (12 hektar) di Batu Feringgih, Pulau Pinang pada Mac 2008.

Usahawan yang juga ahli politik bergelar Datuk itu berkata, suspek utama kes pembunuhan itu yang juga seorang peguam menghubunginya pada 9 September lalu dan memintanya datang ke pejabat bagi mendapatkan wang bayaran penjualan tanah berkenaan.

“Suspek minta saya datang tapi pada hari berkenaan saya tiada di Banting kerana berada kampung di Johor untuk menyambut Aidilfitri keesokannya. Ini menyebabkan dia menyuruh saya datang pada 13 September pula,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Katanya, dia membatalkan niat untuk ke pejabat guaman suspek selepas media melaporkan Sosilawati ditemui mati dipercayai dibunuh peguam terbabit yang juga rakan kongsi pembelian tanah berkenaan.

“Saya, Sosilawati dan peguam itu sebelum ini kenalan rapat sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Sebelum itu, katanya, dia menghubungi suspek bertanyakan mengenai Sosilawati yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu, namun peguam terbabit menyatakan tiada apa yang perlu dirisaukan dan dia hanya perlu hadir ke pejabatnya mendapatkan wang keuntungan penjualan tanah berkenaan seperti dijanjikan.

“Dalam perbualan melalui telefon itu, dia juga mengaku sudah dua kali memberi keterangan kepada polis dan memaklumkan tiada apa yang perlu dirisaukan. Beberapa hari kemudian, saya mendapat tahu dia ditahan polis,” katanya.

Menceritakan mengenai urus niaga tanah itu, Datuk berkenaan mendakwa berkata, peguam terbabit memujuknya melabur bagi membeli sebidang tanah seluas 12 hektar di Batu Feringgi milik seorang warga tempatan pada harga RM25 juta dan perlu membayar deposit RM2.5 juta.

“Saya bagaimanapun beritahu tiada wang sebanyak itu. Dia memberi idea supaya saya berkongsi dengannya, Sosilawati dan seorang lagi rakan bagi membayar wang pendahuluan berkenaan,” katanya.

Katanya, dia dan Sosilawati serta seorang lagi rakan bersetuju membeli tanah berkenaan selepas dipujuk suspek kerana dijanjikan tanah berkenaan memberikan pulangan lumayan kepada kami. “Pembelian tanah melalui syarikat Sosilawati itu diuruskan suspek yang mengambil masa enam bulan sebelum berjaya dijual kepada satu syarikat dengan harga RM29 juta,” katanya.

Katanya, semua nampak lancar apabila suspek menunjukkan dokumen perjanjian jual beli dan ketika itu tiada yang meragukan.

“Dia membayar kembali modal RM2.5 juta kepada kami dalam tempoh enam bulan selepas menerima bayaran deposit RM2.9 juta daripada syarikat yang membeli tanah berkenaan. Bagaimanapun, kami gagal memperoleh bayaran keuntungan RM4 juta seperti yang dijanjikan walaupun sudah dua tahun berlalu.

“Dalam tempoh itu, saya sering menghubunginya bertanyakan perkara berkenaan dan kadangkala marah dengan jawapan suspek kononnya ada masalah dalam pertukaran hak milik,” katanya.

Selepas dua tahun, dia dihubungi suspek menyatakan wang keuntungan berkenaan sudah diperoleh dan perlu hadir ke pejabatnya bagi mendapatkannya. Namun, takdir menyebelahinya apabila dia mendapat maklumat pada 12 September bahawa peguam itu ditangkap polis berhubung kes bunuh dan bakar Sosilawati dan tiga rakannya.

“Kemungkinan Sosilawati juga disuruh datang ke pejabat suspek bagi mendapatkan wang keuntungan berjumlah RM4 juta itu, namun kedatangannya dan tiga yang lain seolah-olah menempah ajal.

“Jika saya tidak menyedari kes pembunuhan itu, saya mungkin turut menerima nasib sama. Malah, saya diberitahu pihak berkuasa bahawa suspek dipercayai mengaku sudah merancang bagi membunuh saya dan rakan pada hari itu,” katanya.

Beliau membuat laporan mengenai kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat (IPPDKL), Selasa lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar ketika dihubungi semalam mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.

Datuk Sosilawati Mati Dibunuh



Kereta Mangsa Djumpai
Sumber : Mediakini.com